FENOMENA BERLAMPAUAN DALAM MENGKAFIRKAN ORANG


(ZHOHIRATUL GHULU FI TAKFIR)
OLEH: DR YUSOF AL-QARADHAWI (BAHAGIAN PERTAMA)

MUQADDIMAH

Di dalam kitab kecil setebal 94 mukasurat ini, Dr Yusof Qaradhawi telah menerangkan fenomena baru ini yang berlaku selepas zaman kebangkitan atau ‘ahdi thaurah’ yang melanda Mesir sekitar tahun 70-an. Beliau telah diasak dengan pelbagai persoalan dari pelbagai lapisan masyarakat antaranya terdiri daripada bekas banduan yang merupakan ahli Ikhwan Muslimin dan juga golongan pemuda yang inginkan penjelasan mengenai keadaan berpecah belah yang semakin parah ketika itu;

1) Kepincangan ini telah dimulakan oleh golongan yang berfikiran bebas yang terlampau tanpa mengira siapa. Mereka menggunakan media untuk menghujum golongan yang lain sesuka hati sehingga ke tahap kafir, fasiq dan pembuat maksiat.
2) Golongan ini juga tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh apatah lagi bertaqwa.
3) Sesetengah kitab yang ‘bertopengkan Islamiah’ mengupas fenomena ini secara tidak sedar telah membawa benih-benih pengkafiran dan ‘melindunginya’ dgn ungkapan yang enak dan panas.

Maka masyarakat ketika itu terdidik dengan fikrah ini sehingga memandang golongan yang telah dihujum ini dengan pandangan serong. Akhirnya golongan yang telah dihujum ini telah mengalami masalah komunikasi yang teruk; Mereka tidak dapat solat bersama dengan orang yang berlainan fikrah dan pegangan politik. Akibat yang paling besar adalah apabila mereka menghukum kerajaan dengan kafir kerana bagi mereka kerajaanlah yang berdiri di belakang golongan yang menghujum mereka semata-mata kerana mereka telah menyeru ke arah perintah Allah. Kemudian mereka mengambil sesetengah nas secara zahir ;

“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” Al-Ma’idah ayat 44.

Mereka mengutip semua hadis-hadis yang berkaitan sehingga sampai ke suatu tahap mereka berkata: “Sesiapa yang tidak menerima fikrah ini yang mana telah disertai dengan dalil-dalil (yang sebenarnya telah dipilih dengan kaedah yang salah) adalah kafir. Sesiapa yang tidak mengkafirkan golongan kerajaan adalah kafir kerana syak di dalam mengkafirkan golongan kafir adalah kafir, sama seperti syak ketika mengkafirkan golongan Musyrikin, Yahudi, Nasrani dan Majusi.”

Maka bermulalah era buruk di dalam sejarah sosial negara ini. Syeikh Hasan al-Hudhaibi R.A.H yang merupakan salah seorang pemimpin IM ketika itu telah mengetahui perkara ini ketika beliau di dalam penjara dan beliau terus menolak fikrah ini dengan berkata : “Kita adalah pendakwah bukannya hakim” Ini adalah kerana pekerjaan sebagai seorang pendakwah dan hakim mempunyai perbezaan yang sangat ketara.

Justeru di dalam kitab yang kecil ini Dr Yusof Qaradhawi telah membahagikan kepada beberapa bahagian yang menerangkan secara terperinci sebab-sebab utama berlakunya fenomena ini, kesan-kesannya dan cara-cara untuk mengatasinya.

1) FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA FENOMENA INI

Dr Yusof Qaradhawi telah menyenaraikan sebab-sebab yang menyumbang ke arah masalah ini adalah;

1) Tersebarnya fikrah kekufuran dan kemurtadan secara terang-terangan di dalam masyarakat Islam pada ketika itu dan golongan ini telah menyebarkan perkara-perkara yang batil atau serong mengenai agama Islam dengan menggunakan pelbagai kemudahan media tanpa mengambil kira pendapat golongan yang menolak pemahaman mereka.
2) Sikap sambil lewa dan ambil mudah oleh sesetengah Ulama’ dalam mengatasi golongan ini.
3) Penekanan yang hebat diberikan kepada pendakwah bebas yang membawa fikrah Islamiah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
4) Ketandusan golongan pemuda yang mahir dalam ilmu Fiqh Islami dan Usulnya. Mereka juga tidak mempunyai keinginan yang kuat untuk mendalami ilmu Islamiah dan ilmu bahasa atau lughawiyah yang mana telah menjadikan mereka berpegang kepada sesetengah nas tanpa nas yang lain, begitu juga dengan perkara-perkara yang syubhat dan juz’iyat tanpa memahami qawa’id kuliyyat, maka ini akhirnya menjadikan mereka berpegang dengan sesuatu fikrah secara membuta tuli tanpa mempunyai kefahaman yang tepat mengenainya.

Sedangkan keikhlasan semata-mata dalam mematuhi sesuatu fikrah tidak mencukupi selagi mana tidak disandarkan dengan kefahaman Fiqh yang mendalam.

Imam Hasan al-Basri telah berkata: “Seseorang yang beramal tanpa ilmu ibarat seorang yang berjalan tanpa arah. Seseorang yang beramal tanpa ilmu lebih banyak memusnahkan daripada mengislahkan, maka tuntutlah perkara ilmu tanpa memudharatkan perkara Ibadat dan tuntutlah perkara Ibadat tanpa memudharatkan perkara Ilmu…”

2)GOLONGAN YANG BERHAK DIKAFIRKAN:

Kita harus sedar siapakah yang sebenarnya harus dikafirkan. Mereka adalah golongan yang terang-terangan menyebarkan dakyah yang bertentangan dengan Islam. Di sisi Islam mereka dinamakan golongan ‘Munafik’ iaitu golongan yang beriman hanya di mulut tetapi tidak di hati. Mereka juga boleh dikenali dengan amalan dan perbuatan mereka yang tidak Islam. Walau bagaimanapun, golongan yang wajib dicop sebagai kafir tanpa ragu-ragu lagi adalah:

1) Golongan Komunis yang membawa ideologi komunisme yang bertunjangkan falsafah dan undang-undang kehidupan yang jelas bertentangan dengan ‘aqidah Islamiyah dan pensyari’atannya serta nilai-nilainya. Mereka juga menganggap golongan yang mempunyai agama adalah candu atau racun masyarakat. Secara umumnya mereka menyifatkan semua agama sebegitu namun secara khususnya mereka menyifatkan agama Islam sebagai agama yang membawa permusuhan dan kebencian.
2) Pemimpin-pemimpin berfahaman Sekular dan juga ahli parti politik yang berfahaman sekular yang secara berterangan menolak syari’at Islam. Mereka berpendapat bahawa sesebuah negara harus dipisahkan dari agama. Jadi golongan yang menyeru kepada meyahut perintah Allah dan Rasul-Nya harus ditentang habis-habisan.
3) Ashab an-Nihal atau golongan agama sesat yang telah keluar daripada agama Islam secara terang-terangan seperti al-Duruz, an-Nashiriyah dan al-Isma’iliyah dan lain-lain kumpulan yang sesat. Imam Ghazali menyifatkan mereka sebagai ; Golongan yang secara zahirnya menentang atau menolak tetapi secara batiniahnya mereka kafir secara mutlak. Ibnu Taimiyah pula menyebut; Mereka ini lebih kafir daripada golongan Yahudi dan Nasrani. Contoh-contoh daripada golongan ini di zaman kita adalah seperti aliran Bahaisme yang merupakan agama baru yang dicipta dan juga hampir menyerupai al-Qodiyaniyah yang muncul dengan ideologi kenabian selepas kenabian Muhammad S.A.W yang merupakan penamat para nabi. Jika di Malaysia, pengikut Ayah Pin turut termasuk dalam golongan ini.

3)KEWAJIBAN MEBEZAKAN ANTARA UMUM ATAU JENIS DAN INDIVIDU YANG TERTENTU:

Kita harus memberikan perhatian yang serius seperti mana yang dipesan oleh para Ulama’ apabila membicarakan mengenai kafir dari sudut secara umum (nau’iyah) atau individu (syaksiah) kerana terdapat perbezaan yang besar antara dua perkara tersebut.

Apabila kita mengatakan golongan Komunis adalah kafir atau pemimpin-pemimpin berfahaman sekular yang menolak Islam adalah kafir atau sesiapa yang mengatakan sedemikian rupa dan menyeru kepada sedemikian perkara adalah kafir, maka ini dinamakan sebagai hukuman yang diletakkan secara umum.

Namun apabila kita mengaitkan perkara-perkara seperti tadi (iaitu kafir) kepada seseorang individu atau peribadi yang tertentu maka kita wajib berhenti sebentar untuk meyelidik dan memastikan tohmahan tersebut samada benar atau tidak dengan menyoal individu tersebut dan berbincang dengannya, sehinggalah kita mendapat hujah yang kuat tanpa sebarang keraguan. Dalam perkara ini Ibnu Taimiyah telah memberikan contoh seperti nas-nas yang berbentuk ancaman, antaranya:

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)” Surah an-Nisa’ ayat 10.

Sesungguhnya nas-nas berbentuk ancaman ini adalah benar, tetapi seseorang individu yang melakukannya tidak boleh dikatakan atau digelar sebagai penerima ancaman tersebut, dan dia juga tidak boleh digelar sebagai orang-orang yang pasti akan menjadi ahli neraka. Kerana boleh jadi ada syarat-syarat yang hilang atau tidak cukup atau ada penghalang dalam perbuatan yang dilakukannya. Mungkin hamba Allah tersebut akan bertaubat dan melakukan amal kebajikan sehingga menyebabkannya terlepas daripada menerima hukuman.

Imam-Imam dalam banyak mazhab telah berpegang dengan kaedah yang terperinci ini untuk membezakan antara umum atau jenis dan inidividu yang tertentu. Dapat kita lihat di sini, semua kaedah yang terperinci ini harus dilalui dalam menetapkan hukum kafir, oleh itu, bagaimana mungkin seseorang muslim menghukum rakyat yang bertashid dengan kalimah ‘LA ILA HA ILLALLAH WA ANNA MUHAMMAD RASULULLAH’ sebagai kafir?

Sesungguhnya sesiapa yang berikrar dengan dua kalimah syahadah ini maka darah dan harta mereka adalah terpelihara kecuali dengan hak-haknya, dan hanya Allah yang berhak menghisab mereka. Kita hanya mampu melihat zahir orang lain tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara sebenar.

4) BAHAYA MENGKAFIRKAN ORANG

Apabila fenomena ini melanda masyarakat, maka ia memberikan impak yang sangat besar kepada individu yang telah dituduh sebagai kafir tersebut. Perkara yang akan berlaku kepada seorang kafir adalah:

1) Tidak boleh bersama dengan isterinya. Mereka wajib berpisah kerana seorang muslimah tidak boleh menjadi isteri kepada seorang kafir.
2) Anak-anaknya tidak boleh tinggal bersamanya kerana dikhuatiri akan terpengaruh dengan kekafirannya.
3) Hilang hak untuk tinggal dan pertolongan dari masyarakat Islam.
4) Wajib dibicarakan oleh Hakim Islami atau Syar’ie untuk memastikan bahawa dia benar-benar telah murtad.
5) Jika mati, hak-haknya selepas mati tidak boleh ditunaikan seperti orang Islam, maka mayatnya tidak boleh dimandikan dan disembahyangkan serta dikebumikan secara Islam. Harta-hartanya juga tidak boleh dibahagikan secara ahkam mirath.

6) Akan mendapat laknat dan kemurkaan daripada Allah S.W.T serta dilemparkan dari rahmat-Nya. Maka dia akan kekal di dalam neraka jahannam selama-lamanya.

5) KEWAJIBAN KEMBALI KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Betapa pentingnya kita kembali berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah untuk menghalang kepincangan ini daripada terus membarah dan menimbulkan lebih banyak masalah. Masalah ini boleh dihindari dengan memahami kaedah-kaedah tertentu. Jika kita berpegang kepada pendapat sesetengah Ulama’ maka kita harus mengetahui nas-nas yang digunakan agar tidak berpegang sesuatu perkara secara membuta tuli.

Oleh : Hakemah

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Jom Ikuti Perbahasan Hangat Madrasah Wasatiyyah Pada :

Catatan Popular

  • - *Risalah Rabbaniyyah 3(Pujian Al Habib Kazim As Saggaf Kepada Syeikh Khaleel)* Berdiskusi dengan orang-orang yang lemah lembut, tawadhuk, lapang fikiran...
    6 tahun yang lalu
  • Bicara Jumaat 2 - Baru sahaja tamat mengajar pelajar-pelajar tahun akhir Usim selama tiga bulan di dalam program halaqah. Program yang bagus untuk pelajar-pelajar mengenal b...
    11 tahun yang lalu
  • Penggunaan Alkohol (al-cohol) - Soalan: Apa hukum menggunakan alkohol pencuci kulit dan perfume?Jawapan: Alhamdulillah. Salawat dan salam ke atas Rasulullah, kerabat dan sahabat Baginda s...
    12 tahun yang lalu
  • Mengapa Nak Ajar Membaca Awal? - Mengapa Nak Ajar Membaca Awal? Bersama Othman Ahamad Penulis Siri Cepat Membaca Bacalah Anakku dan ReadEasy “Budak 4 tahun boleh membaca? Hairan. Macamana ...
    12 tahun yang lalu
  • MENCARI PERUBAHAN - Rasanya masih belum terlewat untuk saya berbicara tentang Hijrah.Ramai dikalangan para *du’at *akan berbicara tentang tarikh penting ini.Masing-masing m...
    13 tahun yang lalu

Jumlah Paparan Halaman

free counters

Cari Blog Ini