Ringkasan “30 Gagasan & Prinsip” Wasatiyyah dan Pembaharuan Islam


Ringkasan “30 Gagasan & Prinsip”

Wasatiyyah dan Pembaharuan Islam

Oleh: Yusuf Al-Qaradhawy

Istimewanya manhaj atau aliran yang menyeru kepada Wasatiyyah dan Pembaharuan Islam ini dengan penumpuan terhadap sejumlah prinsip, tanda, atau kaedah pemikiran dalam memahami Islam dan penyampaian usulnya serta kefahamannya. Prinsip-prinsip ini menjadi petanda kepada Wasatiyyah & Pembaharuan Islam begitu juga sebaliknya apabila disebutkan Wasatiyyah dan Pembaharuan Islam maka terbayanglah 30 prinsip ini. Ialah yang merupakan menara lampu yang menunjuk jalannya, menerangkan fikrahnya, menjelaskan matlamatnya, menggariskan metodnya, dan menentukan kefahamannya. Ia digarap menjadi projek umat sejagat oleh golongan ulama dan menjadi tanggungjawab di atas pundak setiap umat bagi menjayakannya. Inilah 30 Gagasan & Prinsip Wasatiyyah & Pembaharuan Islam[1]:

  1. Ilmu yang mendalam dan kefahaman yang menyeluruh serta seimbang tentang Islam; sekira-kira jelas dua aspek utama: Pertama: Menyeluruh dan melengkapi. Atas dasar Islam merupakan Akidah & Syariah, Ilmu & Amal, Ibadah & Muamalat, Tsaqafah & Akhlak, Hak & Kekuatan, Dakwah & Negara, Agama & Dunia, Tamadun & Umat. Aspek kedua: Gandingan yang seimbang antara dua perkara yang tampak bertentangan tapi menjadi keperluan, seperti Rohani & Material, Ketuhanan & Kemanusiaan, Pemikiran dan Perasaan, Idealistik & Realistik, dan antara Individualisma & Sosialisma.
  2. Keimanan bahawa Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Nabi yang sahih sebagai rujukan tertinggi dalam pensyariatan undang-undang dan membimbing halatuju kehidupan secara Islamik; dengan mengambil kira kepentingan memahami nas-nas Al-Quran dan Sunnah yang terperinci ataupun bersifat juz’iy dalam kerangka maqasid atau objektif syari’at yang bersifat kully.
  3. Mengasaskan aqidah di atas keimanan kepada Allah serta Hari Akhirat, juga di atas Tauhid yang suci lagi tulen: tauhid Rububiyyah, Ilahiyyah, Hakimiyyah. Maka dengan itu manusia bebas daripada perhambaan sesama manusia dan perhambaan terhadap apa saja selain Allah. Ini juga menuntut keimanan bahawa Muhammad sebagai utusan Allah yang diutus dengan membawa risalah terakhir sedunia yang berkekalan dan dengannya Allah mengakhiri rantaian para Nabi-Nya.
  4. Mendekatkan diri hanya kepada Allah semata-mata dengan ibadat yang Dia syariatkan. Memberikan penumpuan terhadap ibadat kepada Allah kerana ia merupakan matlamat penciptaan manusia. Ibadat ini merangkumi ibadat utama yang menjadi syiar agama iaitu Solat, Puasa, Zakat dan Haji seterusnya lagi seperti zikir, doa, istighfar. Selain itu hendaklah memberi penekanan terhadap Ibadat batin seperti niat yang jujur, ikhlas kepada Allah, takutkan Allah dan sebagainya. Ia merupakan asas kepada tasawuf hakiki yang berdiri di atas konsep ‘Jujur dengan Allah, Berakhlak dengan makhluk’.
  5. Penyucian jiwa dan melawan hawa nafsu supaya ia dihias dengan budi pekerti dan akhlak yang mulia yang diambil berat oleh Islam, sama ada akhlak individu ataupun bersifat masyarakat. Ini difahami dengan menolak pendirian mereka yang menganggap ibadat-ibadat syiar dan amalan ritual ialah segalanya, dan menolak juga pendirian mereka yang mengirakan akhlak dan dalaman merupakan segalanya tanpa perlu ibadat anggota luaran.
  6. Penegasan kewajiban berdakwah dan seruan kepada Allah, amar ma’ruf nahy munkar, nasihat-menasihati dalam agama, berpesan-pesanan dan saling mengingatkan akan kebenaran dan kesabaran.
  7. Meneguhkan nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan; seperti: Keadilan, Syura, Kebebasan, Kemuliaan dan Hak Asasi Manusia.
  8. Menghormati akal disamping wahyu. Menyeru kepada penggunaan akal untuk meneliti dan berfikir. Membentuk minda akademik. Memerangi jumud dan ikutan membabi buta terhadap warisan nenek moyang, tuan, orang besar atau orang awam. Menafikan percanggahan antara wahyu yang benar dengan akal yang jelas.
  9. Memperbaharui agama dari dalam. Ini dengan memperbaharui kefahaman terhadap agama, memperbaharui keimanan terhadapnya, memperbaharui amal dengannya, memperbaharui seruan kepadanya. Tidak dapat tidak mestilah dengan menghidupkan semula konsep ijtihad yang merupakan nyawa kepada Syariah, dengan syarat ijtihad hendaklah daripada ahlinya dan pada tempatnya.
  10. Seruan kepada Fiqh yang baharu: kefahaman terhadap alam semesta dan kefahaman dalam agama. Ini merangkumi beberapa jenis Fiqh yang dikehendaki: Fiqh Sunnah Alam, Fiqh Maqasid Syariat, Fiqh Ma’alat, Fiqh Muwazanat, Fiqh Aulawiyyat, Fiqh Ikhtilaf, Fiqh Tamadun, Fiqh Perubahan, Fiqh Realiti.
  11. Menginsafi wanita dan bertindak adil terhadap mereka, memuliakan mereka, menjaga fitrah mereka, melalui penegasan terhadap ajaran Islam seperti memberikan wanita hak-hak, kedudukan dan nilai mereka. Ia juga direalisasikan dengan membebaskan mereka daripada dogma-dogma zaman gelap/mundur Islam dan juga keserakahan serangan tamadun barat yang mengeluarkan wanita daripada fitrah mereka serta tidak pula meraikan kewanitaan.
  12. Menitikberatkan hal kekeluargaan sebagai unit asas masyarakat dan tiang seri kepada masyarakat sejahtera dengan menjaga hak-hak setiap pasangan suami isteri. Tidak menggalakkan perceraian kecuali dalam keadaan sudah pasti tidak dapat hidup bersama. Keharusan poligami dengan syarat-syarat dan etika-etikanya, tanpa meluaskan mahupun meniadakan. Meluaskan lingkungan keluarga agar merangkumi ‘Asobah dan kerabat dekat.
  13. Membentuk masyarakat yang baik dan saling bantu-membantu. Masyarakat yang berdiri di atas persaudaraan, konsep bantu-membantu, berkasih sayang antara anggotanya. Orang kaya membantu orang miskin, orang kuat membantu orang lemah. Masing-masing saling menghulurkan sumbangan, memangkin sesama mereka.
  14. Percaya dengan kewujudan Umat Islam, mesejnya, keabadiaannya hingga Hari Kiamat. Memberi kesetiaan kepada Umat Islam. Beriman pula dengan kewajiban kesatuan Umat berdasarkan persaudaraan iman antara individunya walaupun berbeza aliran dan mazhab. Mengirakan golongan yang berlainan dan pelbagai semuanya termasuk di dalam Umat yang satu selagi mana mereka Solat mengadap Kiblat, beriman dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi.
  15. Membina negara yang adil pembawa dakwah Islam. Negara yang menggerakkan Umat kepada kebenaran dan kebaikan, menegakkan keadilan Allah di atas muka bumi, berpegang kepada hukum yang diturunkan Allah daripada Al-Kitab dan Al-Mizan, menghormati hak rakyat dalam memilih pemerintah, tanpa pemalsuan/penipuan kehendak rakyat, ataupun memaksakan pemimpin ke atas mereka sekalipun mereka tidak suka. Rakyat boleh menyoal dan muhasabah pemerintah. Rakyat boleh mengenepikan mereka dengan aman sekiranya perlu.
  16. Menghindari tafsiq, takfir/mengkafirkan muslim seboleh mungkin, apatah lagi yang disebabkan takwilan tersendiri. Berbaik sangka dengan setiap mereka yang mengucap dua kalimah syahadah, solat mengadap Kiblat dan tidak terbit daripadanya apa yang membatalkan Islam dengan yakin. Asasnya seorang muslim dilihat baik sebolehnya.
  17. Menguatkan ekonomi Umat berdasarkan ilmu dan pengalaman, iman dan akhlak serta berusaha supaya ia saling melengkapi antara sendiri. Ekonomi ini dibina atas Fiqh Syariah dan Objektifnya(maqasid). Usaha secara praktikal bagi mengasaskan sistem Ekonomi Islam yang tersendiri, berlainan dengan ekonomi kapitalis dan komunis.
  18. Percaya dengan mesti dan pastinya kepelbagaian, taaruf dan toleransi antara bangsa dan masyarakat. Yakin bahawa kemanusian adalah satu keluarga besar. Pentingnya saling hidup bersama dan hubungan antara tamadun, percantuman pengetahuan, interaksi antara satu sama lain, adaptasi daripada antara semuanya, tanpa segan mengerdil dan sombong bongkak.
  19. Membina tamadun ilmu dan iman. Tamadun yang bertemakan ketuhanan dan kemanusiaan, terbina di atas akhlak, dan bersifat universal. Menghimpunkan antara ilmu dan iman, rohani dan fizikal, menseimbangkan antara akal dan hati, menyambungkan bumi dengan langit. Membina keseimbangan dan keadilan antara individu dan masyarakat. Meninggikan kebenaran ke atas kekuatan.
  20. Menaik taraf seni-seni dan menggunakannya bagi tujuan risalah Islam; Ruh seni ialah menjiwai keindahan dan meluahkannya dengan cara yang indah. Islam menyuburkan perasaan ini di dalam jiwa muslim. Seorang Muslim diajar supaya meneliti keindahan alam semesta serta diri manusia sendiri; atas perkiraan bahawa ia merupakan ciptaan Allah yang halus rekaannya dan amat teliti. Islam mengalu-alukan seni yang tinggi nilainya sama ada seni berasaskan pendengaran, penglihatan dan buatan. Seni ini digarap oleh Islam untuk tujuan kebenaran dan kebaikan, dijauhkan daripada menjadi alat membangkitkan nafsu shahwat yang murahan.
  21. Memakmurkan bumi; dengan merealisasikan pembangunan dan menjaga persekiran. Saling membantu dalam setiap perkara yang memudahkan manusia dan perkara yang menyebarkan keindahan dalam kehidupan. Semua ini dianggap sebagai ibadah dan jihad di jalan Allah.
  22. Berdamai dengan mereka yang mahukan perdamaian dan jihad berperang dengan mereka yang melampau dan menindas. Menyedarkan umat bahawa Jihad difardhukan ke atasnya secara kewajipan fardhu ain bagi membebaskan tanahnya daripada penguasa asing yang mencengkam. Berusaha menghimpunkan segenap kekuatan umat, semua kelompok dan gerakan yang beramal ke arah memenangkan Islam, membangkitkan umatnya dalam satu barisan dan berdepan matlamat yang satu.
  23. Mengambil berat tentang minoriti Islam seluruh dunia atas perkiraan bahawa mereka juga merupakan sebahagian daripada umat Islam. Umat seluruhnya hendaklah membantu mereka hidup dengan Islam dalam kelompok masyarakat-masyarakat mereka sebagai unsur positif dan aktif. Hendaklah disediakan bagi mereka praktikal Fiqh yang khusus. Syiar mereka hendaklah: Istiqamah beragama tanpa tertutup, harmoni bermasyarakat tanpa larut.
  24. Mengambil berat terhadap minoriti agama lain di dalam masyarakat Islam. Berinteraksi dengan mereka sebagaimana diwajibkan oleh Islam bagi hak-hak mereka seperti kebebasan kepercayaan dan mengamalkan agama. Memastikan hak warganegara sebagai “ahli Negara Islam”. Mengikut prinsip ini, mereka merupakan warganegara sebagaimana kita, bagi mereka hak seperti kita, dan atas mereka kewajipan seperti atas kita, kecuali apa yang berkaitan tuntutan perbezaan keagamaan.
  25. Menggunakan manhaj [taisir/takhfif] memudahkan dan memberi keringanan dalam fatwa, dan [tabsyir] membawa unsur menarik dalam dakwah. Jikalau mahukan kemestian ketat dalam fiqh dan fatwa maka hendak ia pada perkara teras atau prinsip bukan pada persoalan cabang dan ranting. Peringanan dan kemudahan yang dituntut di sini bukanlah bermaksud: mewajarkan situasi yang berlaku atau mewajarkan meniru barat atau menurut kehendak pemerintah. Begitu juga dalam dakwah, hendaklah secara tabsyir menggunakan unsur penarik, bukannya menakutkan dan menghambat orang menyebabkan mereka lari menjauh. Dakwah menyeru orang Islam secara hikmah dan nasihat yang baik. Menyeru mereka yang kontra menggunakan dialog dengan jalan yang terbaik. Ini semua dibuat dengan meraikan ruh zaman moden dan kaedah semasa.
  26. Meraikan sunnah berperingkat dan segala sunnah Allah. Berperingkat secara hikmah di dalam dakwah, pendidikan, fatwa, perubahan. Tidak tergesa-gesa berbuat sesuatu sebelum waktunya, memetik buah sebelum masak. Beserta kewajipan meraikan sunnah Allah dalam alam dan masyarakat. Sesiapa yang meraikan sunnah alam maka dia akan diraikan, sesiapa yang tidak mengikut sunnah alam maka dia akan tersia.
  27. Mengimbang antara perkara statik dalam syariat dan aspek semasa yang berubah-ubah; [tsawabit vs mutaghaiyyirat] dengan mengambil kira kepentingan statik dalam tujuan dan matlamat, prinsip dan kaedah umum, dan pentingnya dinamik, anjal dan fleksibel sekaligus maju di dalam wasilah dan mekanisma, perkara-perkara cabang dan juzuk kecil. Mengelakkan bahaya merubah-ubah perkara statik dan menjumudkan perkara yang boleh berubah-ubah.
  28. Meletakkan tuntutan-tuntutan syara’ [taklif] pada peringkat-peringkatnya dan martabatnya yang betul. Bermula dengan kefahaman jelas terhadap tuntutan-tuntutan tersebut secara seimbang dan menempatkan setiap tuntutan sesuai kedudukannya mengikut apa yang dibawakan oleh nas-nas yang muhkam, dan maqasid yang umum. Maka tidak boleh diawalkan apa yang sepatutnya diakhirkan atau dikemudiankan dan begitulah sebaliknya. Inilah yang kita namakan “Fiqh Aulawiyat”.
  29. Pentingnya reformasi menyeluruh dan perubahan yang mengakar umbi. Pembaikan yang tidak sekadar kosmetik, tidak pula hanya setakat luaran tanpa perubahan dalaman. Tidak menjadi Islah sebenar kecuali dengan kehendak kita sendiri dan tangan-tangan kita sendiri bukan yang dipaksakan orang lain ke atas kita. Permulaan segala islah dengan reformasi sistem-sistem politik diktator. Asas segala perubahan ialah merubah manusia dari dalamannya.
  30. Memanfaatkan warisan ‘turats” kita yang cukup kaya yang termasuk segala bidang ilmu, seni-seni dan sastera-sastera. Dengan menekankan bahawa warisan ‘turats” ini tidak lari dari kesilapan dan cacat cela. Ia tidaklah maksum. Masih boleh dikritik dan disemak semula, dibincangkan untuk ditapis; diambil atau diketepikan. Akan tetapi umat secara keseluruhannya tidak akan bersepakat atas kesesatan atau kebatilan. Selain itu wajib bagi kita menghidupkan semula warisan “turats” ini dan menjaganya dengan teknik dan mekanisma moden. Kita hendaklah juga memilih perkara yang bagus dan sesuai untuk disebarumumkan kepada khalayak umat sementara unsur-unsur yang sebaliknya dibiarkan kepada para pakar mengkajinya.

Tinggal lagi persoalan siapakah yang akan membawa Manhaj Wasatiyyah & Tajdid ini!? Secara umumnya umat Islam seluruhnyalah yang wajib membawa mesej dan menjayakan projek ini. Akan tetapi golongan ulama rabbani pewaris para Nabi-lah yang bertanggungjawab secara khusus mengetengahkan manhaj Wasatiyyah, menjelaskannya kepada masyarakat, mempertahankan keabsahannya, menjelaskan keistimewaannya. Perkara ini telah diambil tanggungjawab oleh Kesatuan Sedunia Ulama Muslim (IUMS) dan diperakui di dalam kandungan piagam / deklarasi bersama yang merangkumi asas-asas dan prinsip-prinsip yang disepakati antara ahli-ahlinya.

Yusuf Al-Qaradhawy menceritakan: “Ketika saya dipertanggungjawabkan oleh saudara-saudara anggota eksekutif Kesatuan Sedunia Ulama Muslim (IUMS) untuk menulis ‘Piagam Islam’ bagi IUMS, saya telah meletakkan bahawa ianya akan membawa pemikiran wasatiyyah. Manhaj wasatiyyah yang merangkumi agenda pembaharuan ini merupakan manhaj yang dipercayai dan diseru oleh hampir seluruh ulama umat yang mereka percaya pada ketinggian akidah mereka, keadilan syariat mereka dan mengambil ilham daripada warisan turats mereka dalam keadaan tidak lalai dengan tuntutan semasa… Alhamdulillah piagam itu telah menggariskan apa yang ulama mahukan supaya menjadi realiti. Ianya telah diperakui oleh anggota-anggota eksekutif IUMS dan juga majlis pemegang amanah cuma beberapa perkara kecil yang perlu dirombak dan dibaiki sehinggalah ia terbit dalam bentuk hitam putih terakhir dan diperakui semua anggota sekalipun berbeza mazhab dan aliran mereka.”[2]

Apa yang penting di sini kita hendaklah terus memahami Manhaj Wasatiyyah dengan baik, menyebarkan ideanya ke seluruh alam, mendidik generasi baru umat melalui acuannya dan mempraktikkannya di atas bumi nyata agar selari gabungan ilmu dan amal, pemikiran dan perbuatan, teori dan praktik. Tamat.

Terjemahan & olahan:Mohd Firdaus bin Hat,

Penyelidik,

Pusat Kajian Fiqh Semasa

29 Nov 2011,

Sri Putra, Selangor Malaysia.


[1] Fiqh al-Wasatiyyah al-Islamiyyah wa al-Tajdid, ms 242.

[2] Fiqh al-Wasatiyyah al-Islamiyyah wa al-Tajdid, ms 183.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Jom Ikuti Perbahasan Hangat Madrasah Wasatiyyah Pada :

Catatan Popular

Jumlah Paparan Halaman

Cari Blog Ini

Memuatkan ...